Mohd Arsyad ditenangkan Zaharah |
Demi mempertahankan nyawa dan maruah ibu serta adik perempuannya, seorang
lelaki nekad bertempur dengan dua daripada lima penyamun yang memasuki rumah
mereka di FELDA Keratong 5, Muadzam Shah, di sini, hingga cedera parah terkena
11 tetakan di tangan hingga menampakkan tulang, kaki dan perut, awal pagi
semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Mohd Arsyad Othman, 26, parah terkena 11
tetakan ketika melawan dengan penyamun bertopeng dipercayai warga asing
bersenjatakan dua parang dan tiga kayu.
Difahamkan, ketika Arsyad bertarung dengan dua lelaki terbabit, tiga lagi
penyamun mengepung ibu dan adiknya sambil mengawal keadaan. Melihatkan Mohd
Arsyad ditetak berkali-kali, ibunya, Zaharah Bakar, 57, melaungkan ‘Allahuakbar’ kerana tidak mampu
berbuat apa-apa apabila dikepung tiga penjenayah bersama anaknya, Nor Adibah,
23.
Menceritakan detik cemas itu, Mohd Arsyad berkata, dengan kudrat yang ada
dia cuba melawan penyamun terbabit kerana bimbang akan mengapa-apakan ibu dan
adik perempuannya.
“Saya yang ketika itu tidur di ruang tamu tersedar apabila mereka memukul
belakang saya dengan kayu. Selepas itu, saya lihat lima penyamun berada dalam
rumah dengan tiga daripada mereka sudah mengepung ibu dan adik,” katanya yang
kini stabil selepas mendapatkan rawatan di Hospital Muadzam Shah (HMS) di sini.
Mohd Arsyad berkata, seorang penyamun terbabit cuba menetaknya di kepala,
namun dia sempat menahan dengan tangan sebelum mencapai sebatang besi dan terus
berlawan.
“Tanpa mempedulikan kesakitan, saya melawan walaupun penyamun itu melibas
parang berulang kali sehingga mengenai beberapa bahagian badan,” katanya yang
bekerja kampung.
“Ketika itu saya hanya terfikir keselamatan ibu dan adik perempuan walaupun
nyawa saya jadi taruhan,” katanya yang bekerja kampung.
Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, melihatkan tindakan
agresifnya, penyamun terbabit melarikan diri dan hanya sempat mengambil
dompetnya mengandungi wang tunai RM400 dan satu komputer riba.
“Selepas itu baru saya sedar tangan kanan terkena tetakan sehingga nampak
tulang dan seluruh badan terasa sakit,” katanya.
Mohd Arsyad berkata, anggota polis yang tiba selepas membuat laporan di
Balai Polis Muadzam Shah jam 5 pagi, menemui dompetnya dicampak kira-kira 500
meter dari tempat kejadian.
“Namun, wang tunai di dalam dompet itu diambil penyamun, tetapi saya
bersyukur kerana semuanya selamat,” katanya.
Menurutnya, ia adalah kejadian kedua selepas kali pertama rumahnya dimasuki
penyamun lapan tahun lalu menyebabkan kerugian dianggarkan RM2,000. Sementara
itu, Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya, ketika
dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan pihaknya sudah mengenal
pasti penjenayah dipercayai warga asing terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan