Oleh : Nizam Yatim
Jenayah kekerasan
yang berlaku di seluruh negara sejak kebelakangan ini khususnya yang
membabitkan kongsi gelap yang dikatakan mempunyai 40,000 ahli cukup merisaukan
orang ramai. Dalam masa sama, pihak berkuasa pula diperlekehkan kerana
dikatakan gagal menangani gejala terbabit dengan berkesan.
Apabila polis
bertindak tegas melancarkan Ops Cantas termasuk membunuh penjenayah terbabit,
ada pula pihak yang mempersoalkannya semata-mata bagi meraih keuntungan
politik. Pihak polis tiada pilihan lain untuk menangani gejala kongsi gelap
kerana Ordinan Darurat (EO) 1969 yang membolehkan penjenayah dihantar ke
pusat-pusat tahanan seperti di Simpang Renggam, Johor atau Pulau Jerejak, Pulau
Pinang telah dimansuhkan.
Sebenarnya kewujudan
kongsi gelap yang selalunya dikaitkan dengan kegiatan jenayah terancang telah
dibawa oleh orang Cina yang datang ke negara ini untuk menjalankan kerja-kerja
perlombongan bijih timah, khususnya kumpulan Ghee Hin dan Hai San.
BOTAK
CHIN
DALAM sejarah negara
kita, antara ketua samseng yang sering dikaitkan dengan kongsi gelap adalah
Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin yang aktif melakukan rompakan
ala Robin Hood sekitar 1970-an. Botak
Chin merujuk kepada gabungan tiga perkataan Bo Tak Chin dalam dialek Hokkien yang membawa maksud Cina tiada kerja.
Botak Chin adalah
seorang yang kejam apabila sanggup membunuh orang kanan yang cuba melawannya
dan tidak teragak-agak menembak mati anggota kumpulannya sendiri yang disyaki
menjadi pengintip polis. Dia juga cuba membunuh Timbalan Ketua Jabatan Siasatan
Jenayah Kuala Lumpur ketika itu, Deputi Superintendan, S. Kulasingam di lampu
isyarat Jalan Davis-Jalan Pekeliling pada 22 November 1975.
Akhirnya dengan
maklumat anggota kumpulan itu yang belot, Botak Chin dan kuncu-kuncunya berjaya
ditangkap polis dalam satu serbuan di sebuah kilang papan di Jalan Ipoh, Kuala
Lumpur pada 16 Februari 1976.
Pada 12 Mei 1980,
lelaki bujang berusia 27 tahun ini didakwa mengikut tiga pertuduhan termasuk
memiliki senjata api, peluru dan bom tangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan
kemudiannya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Ketika menunggu
hukuman mati dilaksanakan, dia bertindak menyerang dan mencederakan warden
penjara dengan senjata tajam sebanyak dua kali. Botak Chin dihukum gantung
sampai mati pada pukul 3 pagi, 11 Jun 1981 di Penjara Pudu, Kuala Lumpur.
BENTONG
KALI
Penjenayah yang nama
sebenarnya P. Kalimuthu (gambar), 32, dikehendaki kerana terlibat dengan 16
pembunuhan yang dilakukannya tanpa sebarang sebab. Dia dikatakan mudah membunuh
sesiapa sahaja apabila berang. Antara mangsanya, seorang penjual roti canai
berusia 24 tahun yang ditembak mati di Taman Tanming Jaya, Kuala Lumpur kerana
menegur sikap kurang ajarnya yang kencing berhampiran rumah mangsa.
Ketua Kongsi Gelap 04
yang berasal dari Bentong, Pahang ini turut disyaki terlibat dalam banyak lagi
kes jenayah termasuk mencederakan polis dan mengedar dadah. Beliau pernah di
penjara beberapa kali termasuk dikenakan sekatan kediaman terhad tetapi hukuman
itu tidak menginsafkannya yang terus menjalankan kegiatannya di sekitar ibu
kota iaitu
di Jalan Klang Lama,
Brickfields, Segambut dan Sungei Way. Dia juga dikatakan cukup berani untuk
menelefon dan mencabar pegawai polis. Polis telah melancarkan Ops Buncit pada Jun 1993 bagi
menjejakinya menerusi kelongsong peluru sembilan milimeter daripada pistol Sig
Sauer buatan Jerman yang dijumpai dalam kebanyakan kes pembunuhannya.
Bentong Kali dan dua
pengikutnya ditembak mati dalam satu serbuan polis di sebuah rumah teres dua
tingkat di Medan Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 6.30 pagi, 29 Jun 1993.
GENG
MAMAK
Kumpulan yang aktif
sejak awal 1980-an diasaskan oleh beberapa adik beradik termasuk Mohd. Yusof Abu
Bakar yang merupakan anak seorang peminjam wang di Kuala Kangsar, Perak. Teraju
kumpulan itu kemudiannya diambil alih Khairul Affendy Mohd. Noor setelah
kebanyakan anggota asalnya ditahan polis.
Mereka telah
melakukan lebih 150 rompakan di seluruh Semenanjung dengan menjadikan gudang,
kompleks kargo udara, lori, kereta mewah dan bank sebagai sasaran dengan nilai
kerugian kira-kira RM50 juta.
Kumpulan 60 anggota
itu sering menggunakan kaedah penyamaran sebagai anggota trafik, Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ), imigresen dan kastam sehingga berjaya mencuri
jongkong emas, mikrocip dan pelbagai barangan elektronik.
Ketuanya, Mohd.
Yusof, 38, berjaya ditangkap pada 2000 tetapi kemudiannya melarikan diri
daripada tahanan polis. Khairul Affendy pula pernah ditangkap pada 2002 dan
kemudiannya pada 2006 tetapi turut berjaya melepaskan diri.
Mohd. Yusof dan
beberapa anggota kumpulannya kemudian berjaya ditangkap semula di sebuah
kondominium di Puchong Perdana, Selangor pada 2005.
MAT
KOMANDO
Penjenayah yang nama
asalnya Ahmad Mohd. Arshad, 37, mengetuai kongsi gelap Kumpulan 13 yang telah
melakukan lebih 52 kes samun bersenjata membabitkan wang tunai lebih RM2.5 juta
dan satu kes cubaan membunuh.
Kumpulan diketuai
beliau cukup berani merompak tanpa memakai topeng dengan menjadikan cawangan
bank terpencil, pemborong kelapa sawit, pengurup wang dan kedai pajak gadai
sebagai sasaran.
Dia yang berasal dari
Kampung Selengkoh, Yan, Kedah mempunyai sifat pendiam dan bukan seorang yang
bersifat bengis ketika bersama rakan-rakan dan keluarga sehingga menyebabkan
mereka sukar percaya dia terlibat dalam kegiatan jenayah.
Dia didakwa mempunyai
ilmu batin sehingga membolehkannya beberapa kali melepaskan diri daripada
kepungan polis. Ketika diburu dia sering mengubah penampilannya termasuk
berjanggut dan berjambang ala-Taliban atau membotakkan kepala.
Dia mati ditembak
dalam Ops Api Sawit 2 di Felcra Kampung Hujung Ketun, Pendang, Kedah, pada
pukul 6.30 pagi, 12 September 2002.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan