07 September 2013

Ibrahim Ali Wajar Pecat Ketua Wira Perkasa




Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali sekali lagi mengulangi kenyataannya agar Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi, meminta maaf kepada Dato’ Seri Najib Razak kerana mendesak beliau agar meletak jawatan. Desakan Irwan Fahmi dibuat melalui blognya yang kemudiannya tersebar luas di laman-laman sosial.

Alasan Irwan ialah Dato’ Seri Najib telah gagal menjaga kepentingan bumiputera sepanjang pemerintahannya. Selaku Perdana Mneteri, Najib juga dituduh terlalu menjaga kepentingan minoriti dan terdesak meraih undi mereka.

Kenyataan Irwan menimbulkan persoalan di kalangan rakyat berkenaan apa yang sedang berlaku dalam kerajaan. Apatah lagi dengan desas-desus yang tersebar berkenaan pertemuan Perkasa dengan Dato’ Seri Najib yang dikatakan ‘panas’ di mana Perkasa dikatakan mempersoalkan perkara yang sama, iaitu meminta Dato’ Seri Najib berundur.


Kenyataan rasmi Datuk Ibrahim Ali mengenai pertemuan itu menyatakan bahawa pihaknya ada menyuarakan kebimbangan orang-orang Melayu dan meminta Dato’ Seri Najib membuat beberapa perubahan. Namun, Perkasa tidak pernah mendesak beliau berundur.

Dato’ Ibrahim Ali juga dikatakan terkejut dengan kenyataan Irwan Fahmi serta menafikan bahawa ia adalah pendirian Perkasa. Beliau turut meminta agar Irwan Fahmi meminta maaf kepada Perdana Menteri atas kenyataannya.

Malangnya, sehingga kini Ketua Wira Perkasa itu terus berdiam diri dan enggan meminta maaf. Oleh yang demikian, Datuk Ibrahim Ali sekali lagi mendesak beliau agar berbuat demikian dalam kenyataannya di TV3 hari ini.

Perkembangan ini tentulah tidak sihat dalam konteks perpaduan Melayu kerana kedua-dua Perkasa dan UMNO merupakan pertubuhan yang berpaksikan ‘Melayu’. Kita tidak mahu melihat kedua-dua pertubuhan ini berselisih faham terutamanya dalam keadaan di mana perpaduan Melayu telah retak.

Justeru, Datuk Ibrahim Ali digesa agar memecat sahaja Irwan Fahmi sekiranya Ketua Wira Perkasa itu masih berpendirian menentang Perdana Menteri. Perlu difahami bahawa penentangan terhadap Perdana Menteri merupakan penentangan terhadap UMNO. Selain itu, keengganan beliau meminta maaf sepertimana arahan Dato’ Ibrahim Ali pula dilihat sebagai sengaja mencabar Presiden. 

Tanpa mengambil tindakan terhadap Irwan Fahmi, pendirian sebenar Perkasa kini diragui.  Kemusykilan timbul tentang apakah Perkasa sebenarnya bersetuju dengan beliau tetapi sengaja mengambil langkah yang ‘politically correct’ dalam menanganinya? Apakah Perkasa sengaja membiarkan Irwan Fahmi menjadi pendesak tetapi di masa yang sama memastikan hubungan yang mesra dengan UMNO?

Bagi mengelakkan syak wasangka ini, Perkasa wajar memecat Irwan Fahmi bagi menyatakan pendirian sebenar pertubuhan itu mengenai kedudukan Perdana Menteri

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /