Putrajaya: Jabatan Kehakiman Syariah
Malaysia (JKSM) merekodkan 581,505 kes perceraian pasangan Islam didaftarkan di
Mahkamah Syariah seluruh negara dari 2003 hingga 31 Disember lalu.
Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan
Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Tan Sri Dr Ibrahim Lembut berkata, daripada
jumlah itu, 544,804 kes berjaya diselesaikan manakala 36,701 kes lagi masih
dalam proses perbicaraan.
Katanya, jenis perceraian pula adalah cerai
mengikut Seksyen 47 (lafaz cerai) sebanyak 16,865 kes diikuti cerai fasakh
sebanyak 5,528, cerai taklik (2,111), cerai khulu’ atau tebus talak (86) dan
pengesahan cerai di luar mahkamah sebanyak 12,111 kes.
“Selain itu, bagi tempoh sama Selangor
menjadi negeri yang mencatat permohonan pendaftaran perceraian tertinggi,
diikuti Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan manakala perceraian paling
rendah dicatat di Perlis, Melaka dan Sarawak,” katanya.
Ibrahim berkata, berdasarkan kajian,
beberapa faktor lain turut mendorong kepada perceraian, termasuk masalah
berkaitan agama atau budaya yang mungkin disebabkan pasangan sering
meninggalkan kewajipan terhadap agama, berlainan haluan atau kurang pengetahuan
dan pendedahan agama.
Selain itu, pasangan bersikap dingin, tiada
kepelbagaian dalam seks dan tiada kepuasan seks antara tiga masalah seksual
yang mencatat peratusan tertinggi sehingga menyebabkan perceraian dan ia
biasanya berlaku dalam kalangan pasangan muda berusia 35 tahun ke bawah.
“Punca lain termasuk suami atau isteri
tidak bertanggungjawab kerana mementingkan diri, suami tidak memberi nafkah
zahir batin dan keadaan isteri yang sering meminta cerai.
“Ada segelintir isteri sering meminta
dicerai apabila berlaku perselisihan faham dan ketika kemarahan menguasai diri
serta tercabar dengan permintaan isteri selepas diugut berkali-kali, tidak
mustahil lafaz cerai keluar daripada mulut suami,” katanya.
Bagaimanapun, masalah kesihatan bukan
perkara utama yang mendorong kepada perceraian, namun ada dalam kalangan
pasangan yang kuat merokok, sakit tua, sering sakit, menghidap penyakit HIV
atau AIDS dan lumpuh boleh menyumbang kepada perceraian.
Katanya, pasangan tidak jujur, suka
mengongkong atau ‘king’ serta ‘queen control’ sering berfoya-foya dan berjudi
juga satu lagi sebab berlaku perceraian.
Selain itu, Ibrahim berkata, tempoh rumah
tangga yang kerap berdepan kes perceraian adalah antara satu hingga enam tahun,
dan tempoh itu dianggap paling mencabar dalam institusi perkahwinan kerana
peratusan perceraian banyak berlakui.
Berdasarkan kajian dilakukan, kumpulan umur
yang mempunyai peratus perceraian tertinggi adalah di kalangan umur 35 tahun ke
bawah. “Statistik JKSM dari 2008 hingga 2013 menunjukkan 7,358 kes perceraian
berlaku bagi pasangan yang berkahwin bagi tempoh perkahwinan kurang tiga
tahun,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan