09 Januari 2014

Agenda Tersembunyi Kristian, Guna Kalimah Allah


Agama Roman Katolik telah bertapak di negara ini sejak kejatuhan kesultanan Melaka kepada Portugis pada tahun 1511, tetapi kenapa sekarang mereka begitu bersungguh-sungguh mahu menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada tuhan mereka.

Sedangkan kata bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, dahulu kerap kali kalimah Allah ditohmah dan diperkecilkan oleh Gereja Roman Katolik sebagai Tuhan orang Islam.


"Soalan saya kepada mereka, apa sebab 500 tahun kemudian,  Gereja Roman Katolik hendak menggunakan kalimah Allah hanya apabila mereka berucap menggunakan bahasa Melayu kepada orang Melayu?

"Apa tujuan mereka?  Tentu ada agenda. Takkan orang Melayu atau orang Islam tak boleh faham? Itu pun masih ada orang Melayu dan Islam yang menyokong. Adakah itu pun (mereka) tidak boleh fikir?" Katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan perdana di Wacana Intelektual YADIM - MPM : Pelaksanaan Hudud Di Brunei - Apakah Yang Malaysia Boleh Pelajari di sini hari ini.

Menurut Abdul Hamid, sudah 500 tahun bertapak di Semenanjung Tanah Melayu, dan sebelum ini termasuk ketika mereka berkuasa memerintah negara ini dari zaman Portugis, Belanda hingga kepada Inggeris Gereja Roman Katolik tidak pernah menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada tuhan mereka.

"Bagi saya hanya satu tujuan (mereka), iaitu untuk mengaburi mata orang Islam dengan mengatakan kalau kamu datang di gereja kami pun, kamu masih beriman dengan Allah," katanya  ketika ditanya mengenai larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di Selangor, dalam sesi soal jawab di satu wacana intelektual  itu.

Sehubungan itu beliau meminta orang Islam di Malaysia mempertahankan hak mereka dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
   
Dalam syarahannya di wacana itu, Abdul Hamid membincangkan isu hudud dan berkata, pelaksanaannya tidak harus bermotif politik jika mahukan undang-undang itu berjaya dilaksanakan.
   
Beliau berkata mana-mana pihak yang berhasrat melaksanakannya juga perlu meneliti keadaan sekeliling, antaranya keharmonian pelbagai kaum, dan tidak tergesa-gesa.
   
"Tambahan lagi idea itu timbul di negeri-negeri dan diperkenalkan tanpa rundingan dan pandangan kerajaan Persekutuan. Tanpa kerajaan Persekutuan, keadilan jenayah tidak boleh ditadbir dengan berkesan," katanya.
   
Mengambil kira beberapa buah negara yang melaksanakan hukum hudud seperti Pakistan dan Nigeria, Abdul Hamid berkata, berdasarkan perkongsian maklumat bersama beberapa kenalannya yang terlibat secara langsung, hukum hudud dianggap tidak atau masih belum diterima sepenuhnya.
   
"Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Abuja, Nigeria, Ibrahim Bukar memberitahu saya bahawa sistem perundangan syariah telah diperkenalkan lebih kurang 10 tahun dan secara tergesa-gesa dan (ia) lebih kepada keuntungan politik daripada kepentingan dan keperluannya," katanya.
   
Beliau menasihatkan pihak yang hendak melaksanakannya terlebih dahulu melakukan kajian secara menyeluruh dan membuat pelbagai persediaan. 
   
Abdul Hamid berkata Brunei yang mengumumkan untuk melaksanakan hukuman itu sendiri telah melakukan kajian kira-kira 30 tahun dan masih belum selesai serta tidak lagi melaksanakannya.
   
Sambil membandingkan negara ini dan Brunei, Abdul Hamid berkata negara yang meletakkan kuasa mutlak kepada Sultan itu mempunyai keistimewaan tertentu yang membolehkan undang-undang dipinda.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /