Penyanyi dari Indonesia, Dato` Rossa telah dimasukkan ke sebuah hospital di Singapura selepas mengadu sakit-sakit badan pada Selasa lalu. Menurut laporan hari ini, pengurusnya, Putri Intan Sari berkata, Rossa yang mengadakan persembahan di Fiesta Langkawi Naturally Magical di Kedah pada Sabtu lalu mula berasa tidak sihat ketika berada di Johor sebelum menerima rawatan di Singapura.
"Sebelum itu Rossa sempat ke taman tema Legoland, Nusajaya, (Johor) bercuti bersama anak-anak tetapi apabila dia mengadu sekali lagi tidak sedap badan, saya terus membawa dia ke hospital di Singapura.
"Syukur doktor kata Rossa tidak mempunyai sebarang penyaki serius. Cuma, dia perlu rehat yang secukupnya sahaja," katanya.
Putri ditemui pada majlis sidang media Malam Gala Cinta Tanpa Sempadan Rossa, Afghan dan Datuk Jamal Abdillah di Hotel The Royale Chulan semalam.
Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiani, 36, turut ditemani anaknya, Rizky Langit Ramadhan, 8, dan seorang lagi pengurus selain keluarga lain Singapura.
Akibat masih di rawat di hospital berkenaan, Rossa hanya menghantar Putri menghadiri sidang media tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan