ALOR SETAR - Seorang lelaki warga Bangladesh yang cuba merogol seorang wanita berusia 50 tahun cedera di kaki kanan akibat ditetak oleh suami mangsa dalam kejadian di Kampung Teluk Wanjah, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, suspek berusia 40 tahun itu dipercayai tiba-tiba masuk ke dalam rumah mangsa melalui pintu hadapan dan merentap pakaian serta cuba merogol mangsa.
Mangsa cuba mempertahankan dirinya dan menjerit meminta pertolongan suaminya berusia 62 tahun yang ketika itu sedang mengupas buah kelapa di belakang rumah.
Suami wanita itu yang meluru masuk ke dalam rumah untuk membantunya terpaksa bergelut dengan lelaki itu dan suspek bertindak kasar dengan menumbuk bahagian dada suami wanita itu sehingga terjatuh.
Sewaktu pergelutan, suami mangsa menetak lelaki tersebut pada bahagian kaki kanan dengan menggunakan parang yang digunakan untuk mengupas kelapa.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan sebagai cubaan merogol dan kes disiasat mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan.
Wanita berkenaan ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini berkata lelaki Bangladesh tersebut yang bekerja sebagai buruh binaan menyewa rumah berdekatan dengan rumah mereka sejak dua tahun lepas.
Katanya sewaktu kejadian lelaki itu dikatakan berkeliaran di luar rumah dan keluar masuk rumah sewanya (lelaki itu) sebelum bertindak demikian.
Lelaki tersebut bertindak sedemikian selepas tiada orang di sekeliling rumah.
Suspek yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Link Video : Suara TV
Link Video : Suara TV
Tiada ulasan:
Catat Ulasan