Penulis tergelak apabila membaca laporan
berita portal pembangkang, Malaysiakini mengenai larangan yang diterima untuk
tidak menghadiri sidang media Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan
semalam. Laporan yang dikeluarkan itu secara jelas untuk memburukkan kerajaan yang
kononnya tidak menghormati kebebasan media sebagai penghubung antara media dan
masyarakat.
Namun apabila dibaca dari satu sudut
pula ia tidak ubah seperti seorang ‘anak kecil’ yang mengadu kerana gagal
mendapat sesuatu perkara yang dihajatinya. Bukanlah niat untuk membela Ahmad
Maslan ataupun para pegawainya atas tindakan yang dilakukan itu. Tetapi lebih
sekadar untuk menunjukkan sikap ‘double standard’ yang ditunjukkan oleh portal
tersebut.
Ini kerana di kalangan media baik arus
perdana mahupun portal, telah ramai yang mengetahui mengenai sikap dan tingkah
laku yang ditunjukkan oleh pimpinan pembangkang kepada petugas media khususnya
Anwar Ibrahim. Mereka bukan setakat menghalang para wartawan melakukan tugas
mereka dengan tidak memberikan kebenaran untuk menghadiri sidang akhbar.
Tindakan seperti ugutan saman seperti
sudah biasa diterima, namun ada kalanya mereka akan bertindak di luar batasan
dengan memarahi dan memaki hamun para wartawan yang melakukan tugas.
Lihat sahaja apa yang pernah dilakukan kepada
para wartawan dari TV3, Utusan Malaysia, dan sebagainya. Tidak cukup dengan
tuduhan melulu yang dilemparkan, mereka turut menjadikan para petugas yang
hanya menjalankan tanggungjawab itu sebagai musuh yang paling jijik. Sekiranya
kita pernah melihat rakaman-rakaman sidang media yang telah dimuat naik di
dalam Youtube pasti, ramai dapat melihat apa yang mereka-mereka ini lakukan.
Namun semua perkara itu, seperti tidak
mempunyai nilai berita di dalam portal pembangkang yang kononnya mengamalkan
ketelusan dan nilai berita yang dipaparkan. Menarik bukan? Dari satu sudut
mereka mengatakan ingin memperjuangkan hak dan kebebasan media, namun dari satu
sudut lain, mereka sebenarnya mengamalkan laporan terpilih walaupun ia
melibatkan isu yang berkaitan petugas media.
Apa sebenarnya perjuangan yang ingin
mereka bawa? Hak dan kebebasan media atau menjadi suara atau lidah rasmi kepada
pakatan pembangkang?
Berbalik kepada isu yang dibangkitkan,
maklumat yang diterima mengatakan antara sebab wartawan dari portal tersebut tidak
dibenarkan membuat liputan sidang akhbar adalah kerana tindakan mereka yang
sering memutarbelitkan isu yang ingin disampaikan.
Sehingga menyebabkan ramai di kalangan
pembaca menjadi keliru dengan nilai laporan berita yang disampaikan, dan yang
paling menarik ia bukanlah pertama kali dilakukan. Acap kali isu yang diketengahkan
menjadi satu isu yang sengaja diputarbelitkan.
Sebagai contoh semasa berlangsungnya
Pilihan Raya Umum (PRU-13) 5 Mei lalu, Malaysiakini dilihat memetik satu kenyataan kononnya pengundi
hantu telah dibawa masuk dari Bangladesh secara tiba-tiba di KLIA. Portal
berita ini juga dilihat sengaja membesar-besarkan kes dakwat kekal luntur bagi
menunjukkan kononnya para pengundi boleh mengundi lebih daripada sekali.
Malah mereka turut melaporkan kononnya
berlaku bekalan elektrik terputus di sebuah pusat pengiraan undi.
Namun sehingga ke hari ini tidak ada satu
petisyen pun yang dikemukakan mengenai warga Bangladesh yang didakwa sebagai pengundi
hantu. Ini sekali gus membuktikan berita-berita yang disiarkan oleh media tersebut
penuh dengan berita-berita yang palsu. Persoalannya ialah, adakah laporan media
seperti ini menepati etika kewartawanan yang perlu melaporkan sesuatu berita dengan
fakta, bukan hanya “dengar khabar”?
Pembohongan, fitnah dan pencerobohan
sempadan peribadi dilakukan dengan sebebas-bebasnya oleh media pro pembangkang.
Yang mana perbuatan ini dilihat boleh mengubah persepsi masyarakat bahawa suatu
yang palsu dan fitnah itu benar, dan yang benar dianggap sebaliknya.
Contohnya, mereka menjadikan indeks yang
dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RTB) yang mana diketahui umum dibiayai
oleh penyangak mata wang, George Soros sebagai tanda aras rendahnya kebebasan
media di Malaysia. Sedangkan pada hakikatnya portal pembangkang seperti
Malaysiakini ini (yang kononnya bebas) tidak pernah dilihat mengkritik mana pimpinan
pembangkang.
Tetapi sekiranya kita lihat akhbar seperti
Utusan Malaysia tidak akan menyembunyikan mana-mana fakta mengenai rasuah atau
jenayah termasuk yang dilakukan oleh pemimpin BN atau ketua jabatan kerajaan.
Tetapi mereka tidak akan sesekali melaporkan fakta mengenai Ketua Pembangkang
Anwar Ibrahim yang didakwa terlibat dalam jenayah seks luar tabii.
Utusan Malaysia tidak ada masalah
melaporkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) yang melibatkan bekas
Presiden MCA, Dr. Ling Liong Sik.
Tetapi media sekutu pembangkang tidak akan
melaporkan mengenai skandal dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC)
DAP. Pernahkah kita membaca analisis mengenai skandal pemilihan CEC dalam
Malaysiakini seperti mana mereka memusingkan ucapan bekas Hakim Mahkamah
Rayuan, Datuk Mohd Nor Abdullah supaya kelihatan rasis?
Kesimpulannya, rakyat seharusnya sedar
mengenai gerakan propaganda yang cuba pakatan pembangkang dan media-media
sokongan mereka bagi wujudkan dengan mempengaruhi dan menanamkan sentimen
kebencian di kalangan minda masyarakat tanpa mereka sedari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan