Ramai yang pasti tersenyum sinis dengan
kenyataan yang dicadangkan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Datuk
Teng Chang Khim untuk mewujudkan rumuh urut mengikut jantina bagi tujuan
mengelakkan berlakunya kegiatan maksiat di Selangor.
"Saya ada idea ini... untuk adakan rumah urut (sama jantina) sahaja.
(Jika) kamu mohon pusat urut untuk lelaki, seluruh kawasan itu akan dizonkan
sebagai zon lelaki. Tiada wanita dibenarkan, walaupun tukang cuci,"
katanya.
Menurut Teng, beliau percaya kegiatan pelacuran boleh dibendung jika
undang-undang diketatkan dengan menetapkan pengurut lelaki untuk pelanggan
lelaki dan sebaliknya.
“Dengan perkara itu, kerajaan negeri dapat membendung isu itu tanpa menghukum
pelanggan sebenar kerana aktiviti mengurut sebahagian daripada cara tradisi
Asean untuk penyembuhan," katanya lagi.
Bekas speaker DUN Selangor itu mengambil alih jawatan Ronnie Liu yang
sebelum ini dikritik teruk berikutan percambahan rumah urut dan pusat hiburan
yang dikatakan tidak terkawal.
Ronnie sebelum ini ketika diminta
mengulas menafikan dengan mengatakan sejak tahun 2006, tiada lesen baru premis
rumah urut yang dikeluarkan kepada mana-mana pihak. Katanya, premis rumah urut
sedia ada masih boleh operasi kerana mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Pihak berkuasa hanya akan mengambil tindakan membatalkan lesen premis berkenaan
sekiranya melanggar peraturan.
Namun MCA Selangor telah mendedahkan,
jumlah rumah urut di Selangor menunjukkan peningkatan mendadak dari 800 kepada
4,000 sejak pembangkang mula mengambil tampuk pemerintahan dari kerajaan
Barisan Nasional.
Malah Presiden Malaysian Beauty Therapy
Association, Prof Dr Clara L Chee sebelum ini turut dilaporkan berkata satu
peningkatan yang ketara dengan penambahan sebanyak 85% membabitkan rumah urut
di Selangor.
Dari satu segi kenyataan Chang Khim itu mungkin bertujuan untuk menunjukan
kesungguhan kerajaan pakatan Selangor membanteras gejala maksiat di negri
tersebut, namun dari satu segi lain ramai yang merasakan ia hanya merupakan
retorik pembangkang semata-mata.
Ini kerana kenyataan yang dikeluarkan itu hanya merupakan kenyataan politik
yang bertujuan untuk memujuk hati dan sokongan wakil rakyat Islam dari pakatan
khususnya dari Pas agar terus bersama dengan pakatan Selangor.
Cakap-cakap politik sebelum ini bertiup
kenyang mengenai tindakan kelompok pemimpin pro-ulama yang melahirkan rasa
kecewa dan bosan untuk terus bersama PKR dan DAP. Ditambah dengan kritikan
berterusan yang dilemparkan oleh kelompok pro-Azmin turut menyebabkan mereka semakin
gusar dengan kemungkinan wakil-wakil rakyat tersebut melompat yang berkesudahan
dengan pembentukan kerajaan campuran.
Tindakan mereka yang sebelum ini dilihat
sering menindas Pas telah menimbulkan banyak rungutan dari ahli parti dan
penyokong parti itu. Malah beberapa pemimpin Pas juga terpaksa ‘dikorbankan’ sebelum
semata-mata untuk memenuhi desakan dan tuntutan mereka.
Kesimpulannya DAP Selangor pada
hakikatnya lebih takut untuk berdepan dengan kemungkinan yang dinyatakan tadi
berbanding menangani isu ini secara serius. Ini kerana mengasingkan rumah urut
mengikut jantina tidak menjamin pengurangan aktiviti maksiat, malah bakal
menyebabkan gejala sosial yang melibatkan LGBT semakin berleluasa di negara
ini.
Namun apa yang pasti, keputusan Chang Khim
sudah pasti akan memeranjatkan penguasaha rumah-rumah urut yang sebelum ini
telah memberikan undi kepada pakatan pembangkang. Sama-samalah kita tunggu
kesudahan episod ini, sama ada berakhir dengan penguatkuasaan undang-undang
atau satu lagi drama dan sandiwara pembangkang untuk menipu rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan