Adakah rakyat Malaysia akan terus berpolitik sehingga Pilihan Raya
Umum (PRU) Ke-14? Bilakah masa wakil rakyat yang dipilih mewakili BN,
DAP, Pas dan PKR mahu bekerja untuk rakyat dan pengundi-pengundi?
Seminggu berlalu, masih ada yang tidak puas hati dengan keputusan PRU
memihak kepada BN di peringkat Pusat dan pakatan 3P - DAP, Pas, PKR di
Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.
Diketuai oleh Anwar Ibrahim, pakatan 3P mengadakan perhimpunan haram
hitam yang mempertikaikan perjalanan PRU-13. Ketika DAP sudah
membentuk kerajaan dengan melantik semula Lim Guan Eng sebagai Ketua
Menteri, pakatan masih berkokok di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang
dengan mendakwa PRU tidak bersih. Road show ini akan diteruskan di
lokasi lain.
Begitulah suasana politik pada hari ini. Apakah PRU
bertukar bersih sekiranya 3P menyapu bersih kerusi Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri? Adakah PRU yang didakwa hitam menjadi putih apabila
Anwar melangkah ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri? Disebabkan gagal
untuk ubah BN kepada pembangkang dan kegagalan bersihkan Malaysia dari
kuasa BN, maka PRU didakwa tidak adil, tidak bersih. Entah apa akan
terjadi jika DAP gagal bertahan di Pulau Pinang dan Pas tewas di
Kelantan.
Sebenarnya, BN juga terkejut dengan keputusan PRU lalu terutama di
beberapa kawasan tetapi tidaklah melompat ke sana sini dengan mendakwa
kemenangan calon tertentu sebagai satu penipuan.
Sebelum pengumuman calon, ada pemimpin BN yang membayangkan berlaku
kejutan dalam senarai calon. Memang ada kejutan. Keputusannya juga satu
kejutan. Pada peringkat awal, pemimpin begitu yakin dengan calon pilihan
mereka tetapi akhirnya ramai yang tewas.
Tidak pasti sama ada ketika mengemukakan calon, pemimpin parti masing-masing yakin menang atau senarai calon yang diturunkan sekadar simpanan tetap untuk dikeluarkan dalam pemilihan parti akan datang. Pada hal mereka seharusnya ingat PRU kali ini amat penting, sekurang-kurangnya bertahanlah untuk kali ini. Apa pun, pengundi sudah membuat keputusan. Mereka berhak memilih sama ada atas faktor calon atau parti. Ada yang memilih parti atau calon dan ada pula yang memilih kedua-duanya.
Tidak pasti sama ada ketika mengemukakan calon, pemimpin parti masing-masing yakin menang atau senarai calon yang diturunkan sekadar simpanan tetap untuk dikeluarkan dalam pemilihan parti akan datang. Pada hal mereka seharusnya ingat PRU kali ini amat penting, sekurang-kurangnya bertahanlah untuk kali ini. Apa pun, pengundi sudah membuat keputusan. Mereka berhak memilih sama ada atas faktor calon atau parti. Ada yang memilih parti atau calon dan ada pula yang memilih kedua-duanya.
Selak sebelum ini pernah melontarkan persoalan sama ada Lim Kit Siang
dipilih kerana namanya, jawatan atau roket. Mereka memilih
kedua-duanya. Kit Siang boleh bertanding di mana sahaja bersama roket
dan menang. Beliau sebelum ini hanya tewas di Bukit Bendera kepada
Setiausaha Agung Gerakan, Chia Kwang Chye pada 1999 sebelum berhijrah ke
Ipoh Timur. Tetapi penampilan pertama di satu-satu kawasan menghasilkan
kejayaan.
Contohnya di Pulau Pinang, bermula 1986 melalui Projek
Tanjong I diikuti 1990 dan 1995. Tahun 1990, beliau mengalahkan Dr. Lim
Chong Eu yang memimpin Pulau Pinang selama 21 tahun. Bermula dari situ,
pengaruh DAP semakin kuat walaupun merosot pada 1999 dan 2004 tetapi
bangkit garang pada PRU 2008 sehingga membentuk kerajaan negeri. Kini
Kit Siang sekali lagi mengalahkan pemimpin peringkat negeri, iaitu Abdul
Ghani Othman yang memimpin Johor selama 18 tahun.
DAP juga menguasai empat kerusi Parlimen dan 14 DUN, pencapaian yang
tidak pernah berlaku di negeri yang dianggap sebagai jantung hati BN
dan tiang seri UMNO. Adakah ini petanda awal Johor juga bakal menjadi
seperti Pulau Pinang dan Selangor? Kemungkinan yang tidak boleh
dipandang ringan oleh semua pihak.
Mungkin kekalahan Abdul Ghani bukanlah satu kejutan besar disebabkan
majoriti pengundi di situ adalah Cina. Tetapi di Bukit Katil, Melaka,
seorang lagi pemimpin yang tidak kurang hebatnya dalam membangunkan
negeri tewas. Selama 13 tahun, Ali Rustam membangunkan Melaka, akhirnya
beliau kecundang. Kenapa ini berlaku kepada pemimpin seperti Chong Eu,
Ghani dan Ali?
Adakah pengundi sekarang sudah tidak peduli lagi semua sumbangan itu?
Adakah jasa, perkhidmatan dan bakti sudah tidak bernilai dan tidak
mampu lagi menjamin kemenangan? Adakah PRU sekadar untuk memenangkan
parti demi kuasa?
Lihatlah keputusan PRU lalu. Banyak pihak yang selama ini gigih
berkhidmat untuk masyarakat setempat tewas sebaliknya mereka yang baru
muncul semasa musim kempen PRU menang dengan selesa. Akhirnya banyak
pemimpin atau pekerja parti yang berhasrat mahu menutup pusat khidmat
masing-masing. Eloklah hasrat itu difikirkan semula kerana sudah tentu
penyokong sebenar mereka masih memerlukan perkhidmatan. Jika jasa dan
perkhidmatan tidak boleh menjamin kemenangan, maka benarlah kata
sesetengah pihak bahawa jika diletak anjing pun boleh menang.
Begitu
juga, ada yang berkata, beliau boleh menang hanya dengan meletakkan
bajunya sebagai calon. Kenyataan itu seolah-olah menunjukkan pengundi
tidak peduli lagi kerja yang dilakukan pemimpin. Persoalannya, siapakah
sebenarnya yang mahu dipilih dalam PRU? Wakil rakyat yang sekadar
bergelar Yang Berhormat atau Yang Berkhidmat? Di sesetengah kawasan,
pengundi mungkin tidak peduli lagi Yang Berkhidmat kerana segala
keperluan sudah tersedia. Mereka hanya perlu Yang Berhormat yang
cukuplah tunjuk muka sekali-sekala, lebih kerap menjelang PRU dan
selepas PRU, hilang.
Ada juga yang menang hanya ghairah turun padang untuk berceramah.
Masalah penduduk jatuh nombor dua atau serah kepada orang lain terutama
kerajaan yang memerintah. PRU bukan lagi soal pembangunan dan
perkhidmatan yang diberi. Sudah tidak ada nilai-nilai berterima kasih
kepada orang yang memberi sebaliknya tangan yang memberi itu akan
digigit. Tidak ada lagi konsep orang berbudi kita berbahasa, orang
memberi kita merasa. Perasaan perkauman, fitnah, maki hamun dan cerita
dongeng semasa PRU yang dicetuskan melalui ceramah atau media sosial
sudah meresap atau merasuk mereka yang mendengar dan membacanya.
Akhirnya ia menjadi seperti api dalam sekam.
Sesuatu harus dilakukan supaya keadaan tidak bertambah buruk akibat
provokasi melampau ini. Pada PRU-14, generasi yang sempat merasai
suasana tegang, cemas dan susah suatu masa dulu dan golongan yang
makan garam terlebih dahulu semakin kurang. Perlahan-lahan peranan
mereka akan diambil alih generasi yang lahir di atas dulang yang
serba-serbi sudah tersedia di depan mata. Mereka tidak mahu lagi
menoleh sejarah silam yang sukar dan susah. Mereka ghairah mahu
mencuba sesuatu yang baru. Tetapi sejauh mana kesediaan mereka untuk
duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain? Malang bagi
orang Melayu yang sekadar mahu berubah tetapi keupayaan mereka masih
terbatas dalam bidang ekonomi atau ilmu.
Kepada orang Melayu, cerdiklah ketika berpolitik. Jangan sampai
menang sorak kampung tergadai; kalah jadi abu, menang jadi arang. Jangan
dilupakan kisah teladan masa dulu-dulu termasuklah Pak Pandir, Pak
Kaduk dan Lebai Malang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan