Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato
Seri Dr Shahidan Kassim mengatakan beliau turut bersetuju dengan cadangan
beberapa orang pihak agar kedua-dua jawatan tertinggi di Umno tidak
dipertandingkan dalam pemilihan parti yang bakal diadakan pada hujung tahun
ini.
Ini kerana menurut beliau, Umno baru
sahaja menghadapi satu pilihanraya umum dan pertandingan untuk jawatan Presiden
dan Timbalan Presiden yang disandang
oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya
akan menyebabkan orang Melayu hilang keyakinan ekoran percaturan politik
dalaman parti.
“Sebagai Timbalan Pengerusi Umno Negeri Perlis,
kita menyokong cadangan (yang dikemukakan oleh) pelbagai pihak bahawa (jawatan
untuk) Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
“Saya merasakan sekiranya Umno ingin
(kembali) kuat dan terus relevan untuk diterima oleh rakyat, maka Umno perlu
kurangkan percaturan politik, supaya orang Melayu kembali yakin untuk menyokong
Umno” katanya ketika ditemui sebentar tadi.
Ramai dikalangan pimpinan Umno baik di peringkat
negeri dan bahagian sebelum ini mencadangkan agar jawatan tertinggi parti itu tidak
dipertandingkan. Mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir sebelum ini turut
dilaporkan menyokong cadangan tersebut.
Ini
kerana katanya, beliau bimbang pertandingan bagi dua jawatan tertinggi itu akan
menyebabkan perpecahan dalam Umno dan juga orang Melayu.
"Mengikut
amalan demokrasi, kita patut ada pertandingan tetapi orang Malaysia tidak
begitu faham amalan demokrasi sebenar. Kalau kalah, mereka akan tarik diri
(keluar parti) dan tubuhkan parti lain dan ini menyebabkan orang Melayu dan
Umno berpecah lagi. Sehubungan itu, saya sokong kalau ada pertandingan tetapi
bukan untuk dua jawatan di puncak sekali iaitu presiden dan timbalan presiden”
jelas beliau.
Ketika
mengulas lanjut mengenai perkara itu, Shahidan turut menjelaskan orang Melayu tidak
mempunyai pilihan kerana Umno adalah merupakan wardah perjuangan untuk
Melayu.
“Maka ia perlu kuat dan bersatu padu.
Kesatupaduan pertama yang perlu ditunjukkan adalah untuk tidak mempertandingkan
jawatan Presiden dan Timbalan Presiden” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai hasrat beliau
untuk bertanding dalam pemilihan parti nanti, Ahli Parlimen Arau itu
menjelaskan, masih lagi tidak memikirkan mengenainya kerana ingin memberikan
tumpuan kepada tugas barunya sebagai ‘Gabenor’ Parlimen.
“Yang menjadi perhatian saya pada kali
ini ialah, untuk menjadi pemudah cara kepada Sidang Parlimen yang akan mula
bersidang pada minggu hadapan dan berdepan dengan ahli-ahli Kelab Penyokong
Barisan Nasional (BNBBC) seramai 82 orang (tidak termasuk ahli-ahli kabinet)
dan 89 ahli-ahli Parlimen dari kalangan pembangkang” ujar beliau.
Malah menurut beliau juga, pihaknya yakin
tidak akan menghadapi sebarang masalah kerana telah bersiap siaga untuk
menghadapi perdebatan yang akan berlangsung nanti.
“Bagi saya apabila seorang ahli parlimen
itu sudah dipilih menjadi ahli parlimen, inilah medan mulia yang paling baik
untuk mereka berdebat bagi menyampaikan hasrat rakyat” jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan