Ramai yang sering menuding jari kepada
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan melemparkan pelbagai tuduhan baik di
kalangan pakatan pembangkang mahupun penyokong kerajaan Barisan Nasional (BN). Seperti
yang diketahui umum, pakatan menyalahkan SPR yang dikatakan bersekongkol dengan
Pejabat Pendaftaran Negara sehingga berjaya memberi kemenangan kepada parti
pemerintah dalam pilihan raya yang lepas.
Manakala di pihak penyokong kerajaan,
kesalahan di letakkan ke atas bahu SPR kerana dikatakan bersikap lemah kerana
gagal mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap mereka yang
melemparkan fitnah sehingga menimbulkan persepsi buruk di kalangan masyarakat.
Menjawab pertanyaan salah seorang
peserta di majlis syarahan bertajuk 'PRU13:
Terima Keputusan Rakyat' di Kuala Lumpur hari ini Timbalan Pengerusi SPR, Datuk
Wan Ahmad Wan Omar mengatakan SPR sebenarnya berada dalam keadaan yang serba
salah. Ini kerana SPR adalah sebagai sebuah suruhanjaya yang dilantik oleh Yang
di-Pertuan Agong sebarang tindakan yang ingin di ambil perlu di teliti bagi menjaga nama dan
integriti institusi tersebut.
Oleh yang demikian, adalah sewajarnya
pihak SPR di pertahankan oleh Jabatan Peguam Negara. Namun apabila perkara itu
diutarakan pihak Jabatan Peguam Negara menyarankan agar SPR menggunakan khidmat
guaman dari luar dan membiayai sendiri semua kos yang berkaitan.
“(Oleh yang demikian) SPR buat keputusan
untuk membuat laporan polis dan biar polis membuka kertas siasatan berhubung
perkara yang dibangkitkan’ katanya.
“Kalau ambil tindakan saman, ia akan
menyebabkan jumlah saman yang banyak kerana hampir setiap hari SPR diserang
dengan pelbagai fitnah. Sebagai contoh apabila rujuk Suara Keadilan (lidah
rasmi PKR) dari muka depan sampai belakang semua yang melibatkan SPR adalah
fitnah, begitu juga dengan Harakah dan Roket.
Namun di masa yang sama, Wan Ahmad turut
melahirkan kekecewaan apabila sehingga kini semua laporan polis yang dibuat
tidak menampakkan sebarang hasil seperti yang diharapkan. Keadaan itu telah
menyebabkan SPR berada dalam satu keadaan yang tersepit.
“Apabila SPR meminta untuk mengemukakan
saman, pihak Jabatan Peguam Negara menyarankan agar kami cari dan biayai
sendiri peguam yang dilantik tetapi apabila membuat laporan polis (bagi membolehkan
kes tersebut diwakili oleh pihak Jabatan Peguam Negara) ia seperti tiada
sebarang tindakan.
“Saya harap sangat selepas laporan polis
yang dibuat (dan selepas siasatan dilakukan), pihak Jabatan Peguam Negara akan
terima kertas siasatan tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya (membuat
pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab)” jelasnya lagi.
Kesimpulannya pihak Peguam Negara
seharusnya mempertimbangkan dan mengetepikan kerenah birokrasi atau
sekurang-kurangnya mencari jalan penyelesaian agar perkara ini dapat
diselesaikan segera. Ini kerana sekiranya perkara ini tidak di tangani dengan segera
akan menimbulkan pelbagai persepsi buruk sehingga menyebabkan rakyat termakan
dengan semua dakyah yang dilemparkan.
Dalam erti kata mudah, Peguam Negara segera
memikirkan jalan yang terbaik untuk menyelesaikan isu yang telah lama
membungkam ini dan bukannya menjadi seperti agen pembangkang yang saban hari
menekan kerajaan dengan pelbagai isu yang sengaja direka cipta.
Apa yang boleh
dikatakan ia tak ubah seperti kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di
rumah mati kelaparan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan