BUKAN tidak mahu namun kekangan kewangan dan kurang tenaga profesional antara perkara yang membataskan perancangan Anuar Zain untuk menempa nama di luar negara.
Mengakui menyimpan impian ke arah tersebut namun penyanyi berusia 44 tahun itu perlu memendamkan hasrat itu buat seketika.
Kata Anuar, pada waktu ini dia tidak mahu merosakkan kelancaran graf seninya di tanah air semata-mata untuk mengejar impian yang belum pasti.
Tambahan pula dengan pengalaman Anuar menembusi pasaran hiburan Indonesia yang dilihat kurang berjaya sebelum ini membuatkan dia lebih menghargai kerjaya seninya di dalam negara.
"Perumpamaan hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri sudah tidak relevan untuk industri muzik hari ini.
"Hakikat untuk kebanyakan pemuzik tempatan sekarang adalah hujan emas di negeri sendiri," katanya berhubung hasrat yang satu itu.
Mengulas tentang persediaan seseorang penyanyi untuk bersaing di luar negara, Anuar berkata seseorang itu memerlukan disiplin yang tinggi selain sanggup berkorban masa demi kerjaya.
Berada di negara asing kata Anuar, mereka juga perlu bersedia untuk berdepan dengan persaingan bakat tempatan sedia ada.
"Risiko untuk menjadi artis di luar negara memang tinggi. Terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum buat keputusan untuk melangkah ke sana.
"Sebab itu hanya orang yang bernasib baik sahaja mampu menempa nama di luar negara," katanya yang mengagumi penyanyi Yuna yang berjaya menempa nama di Amerika Syarikat (AS).
Baginya peluang berharga artis seperti Yuna yang berjaya mengharumkan nama di luar negara tidak datang selalu dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan