03 Februari 2014

10 bahan pameran di Muzium Lilin i-City musnah dalam kebakaran


SHAH ALAM: Sepuluh bahan pameran di muzium lilin i-City, Shah Alam musnah dalam kebakaran Rabu lepas, dipercayai akibat sabotaj.

Dalam kenyataan hari ini, I-Berhad, pemaju induk i-City berkata Red Carpet@i-City dipecah masuk pada awal Rabu menyebabkan insiden kebakaran itu yang memusnahkan sebahagian daripada pameran.

Katanya berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diserahkan kepada polis, besar kemungkinan tiga individu melakukan sabotaj memecah masuk premis dan menyebabkan kebakaran itu.

"Mujurlah kerosakan tidak besar hasil kecekapan pihak polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat," kata Pengurus Maklumat I-Berhad Tang Soke Cheng.

Memandangkan i-City adalah satu daripada destinasi pilihan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, syarikat itu berkata perbuatan sabotaj itu adalah sesuatu yang membimbangkan.

Apabila dihubungi Tang berkata syarikat itu masih belum memutuskan jumlah kerugian akibat kebakaran berkenaan.

"Pasukan polis bantuan i-City sedang bekerjasama dengan polis Selangor untuk mencegah insiden seperti itu pada masa depan," katanya.

Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan pelaku itu bukan sahaja menjejaskan imej negara tetapi juga menghindarkan pelancong daripada melawat Malaysia sempena TMM 2014.

Kawasan pameran utama Red Carpet akan ditutup kepada orang ramai untuk kerja-kerja membaik pulih dan menggantikan semula pameran lilin yang rosak.

Pasukan operasi muzium mengambil langkah alternatif untuk menempatkan semula beberapa pameran lilin yang tidak terjejas ke bahagian lebih kecil untuk pelawat berinteraksi dan meraih pengalaman dengan mengenakan bayaran masuk RM5.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja baik pulih akan bermula selepas cuti Tahun Baharu Cina dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

Tang berkata mereka yang telah membeli tiket untuk tempoh Tahun Baharu Cina boleh memilih sama ada melawat muzium lilin selepas selesai ia diubah suai atau menulis surat kepada syarikat untuk pengembalian wang.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /