07 Julai 2012

KALAU BLOGGER PRO-UMNO-BN DAPAT TEMPAT DI HARAKAH, BAYANGKANLAH TRAUMA APA SEBENARNYA DIHIDAPI OLEH PAS!!!

Dari tahun 1997, kewujudan tentera-tentera siber yang berpihak kepada PAS dan Anwar Ibrahim serta DAP tidak dicabar. Apa-apa sahaja yang disuapkan oleh mereka, terpaksa ditelan bulat-bulat. Malah fitnah dan tohmahan tidak berasas yang dilemparkan juga, tidak banyak disanggah dan ditentang.

Tahun 2008, Pakatan DAP-PKR-PAS telah mengoptimumkan penggunaan tentera siber mereka. UMNO dan Barisan Nasional pula, lambat melihat bidang media ini dan akhirnya menyebabkan pemikiran bahawa dengan membuat program besar-besaran, maka menanglah UMNO dan Barisan Nasional, hampir menyebabkan UMNO-BN kehilangan kuasa sebenar di Parlimen Malaysia.
Tentera-tentera kecil siber yang berpihak kepada UMNO dan Barisan Nasional mulai muncul walaupun masing-masing tidak mampu menjawab komen-komen serangan penyokong Pakatan di blog masing-masing, sedangkan pada masa yang sama, blogger-blogger pro-Pakatan menutup sebarang ruang untuk pengkomen-pengkomen yang berpihak kepada UMNO-BN.

Beberapa PRK, tentera-tentera siber yang menyokong UMNO-BN masih kurang diberikan perhatian. Kalau ada pun, hanyalah mereka yang berpandangan jauh bahawa tentera-tentera siber kecil ini boleh dipergunakan untuk menebalkan kantung sambil menepuk dada, 'Saya ada bala tentera!'. Sedangkan pada masa yang sama, kawan-kawan yang pro-Pakatan pula dihamburkan pelbagai peruntukan, terutama pada ketika Nizar Jamaluddin masih lagi menjadi Menteri Besar Perak selain Selangor yang menyediakan peruntukan belasan juta ringgit di bawah banner media baru.

Pada ketika kawan-kawan blogger pro-Pakatan bercokak dan bergasak tentang peruntukan yang tidak sampai ke tangan masing-masing selepas mereka bertungkus-lumus memenangkan Pakatan Rakyat dari sebelum 2008 sehingga beberapa pilihanraya kecil, blogger-blogger pro-UMNO-BN pula sekadar mampu menelan air liur.

Mungkin di kalangan pro-UMNO mahupun pro-Pakatan berpandangan, blogger-blogger dari kedua-dua kem tidak boleh bertentang mata dan bertukar-tukar pandangan, namun pandangan sebegitu sebenarnya satu kesilapan besar. Biarpun memang ada di kalangan blogger-blogger tegar yang membuta-tuli akur dengan arahan kepimpinan, ada juga di kalangan blogger dari kedua-dua kem yang berpandangan sebaliknya, terutama yang mempunyai latar belakang kewartawanan.

Biarpun tidak bertukar-tukar maklumat sulit, namun kerenah dari kem masing-masing seringkali menjadi bualan. Walaupun akidah politik masing-masing berbeza, tetapi satu persamaan ketara antara kedua-dua kem blogger ialah, masing-masing membuat kerja promosi, propaganda malahan lebih tepat lagi DIPERGUNAKAN OLEH PEMIMPIN MASING-MASING.

Dengan kata-kata lain, biarpun tidak semua, blogger-blogger dari kem Pakatan dan kem UMNO-BN masih boleh duduk semeja, mengeteh dan bergelak tawa sambil usik-mengusik walaupun dalam blog masing-masing, mereka seperti ikan sempilai beringsang merah.

Dewasa ini, kemunculan blog-blog baru, selain pertambahan FACEBOOKER yang berpihak kepada UMNO-BN, mula membuka mata kem Pakatan Rakyat. Kalau dahulu, penguasaan Pakatan dalam media baru amat menggerunkan, sekarang kem Pakatan pula yang sangat gerun melihat keaktifan pro-UMNO-BN.

Justeru, pengalihan daripada serangan terhadap pemimpin UMNO-BN kepada golongan penggiat media baru pro-UMNO-BN perlu dibuat. Dan yang menariknya, beberapa nama 'besar' kalangan penggiat media baru pro-UMNO-BN seringkali mewarnai serangan serta propaganda media-media pro-Pakatan.

Maka, timbul pula tanda tanya, apakah sebenarnya fungsi propaganda dan cyberwar machine Pakatan sudah melebar kepada jentera cyberwar pro-UMNO-BN pula sehinggakan golongan yang sebenarnya tidak mempunyai kepentingan dalam dunia politik, sebaliknya hanya mempergunakan medium penyebaran maklumat pula menjadi bahan?

Apakah sekarang, pro-Pakatan sudah mahu mengakui dan memperakui bahawa kewujudan mereka terancam dengan kehadiran tentera-tentera kecil pro-UMNO-BN yang berselerak, kelihatan tidak bersatu, seringkali dilihat bercokak dan bertelagah, selain melangkaui pro-Pakatan yang sentiasa dihadkan oleh kepimpinan sendiri dalam penyebaran maklumat?

Lebih menarik lagi ialah apabila Harakah Daily, jentera propaganda rasmi PAS, turut memberikan ruang yang sangat besar kepada tentera-tentera kecil pro-UMNO-BN untuk diperkenalkan, sekaligus mempromosikan apa yang mereka hasilkan dalam medium masing-masing secara percuma.

Dengan menjadikan WANG dan PERUNTUKAN sebagai senjata utama untuk membelasah, barangkali Harakah Daily sendiri terlupa bagaimana Harakah dan PAS selain Mustafa Ali pernah digoncang sakan berhubung SKANDAL PENGIKLANAN HARAKAH yang diserahkan kepada sebuah agensi yang diwujudkan oleh 'pemikir-pemikir hebat' yang melihat kantung sebagai objektif utamanya.

Atau barangkali mereka terlupa atau sengaja buat-buat lupa tentang skandal penyelewengan duit peruntukan untuk blogger masing-masing yang digelapkan oleh pimpinan peringkat rendah Pakatan sehinggakan grup besar blogger serta FACEBOOKER Pakatan, akhirnya terpaksa bergerak sendiri sambil menahan hati untuk menunggu sehingga lepas pilihanraya umum sebelum menghamburkan kemarahan mereka?

Satu persoalan yang sebenarnya perlu mencelikkan mata kaum blogger Pakatan yang masih beranggapan, mereka berjuang secara ikhlas berdasarkan pengakuan masing-masing, KERAJAAN NEGERI SELANGOR telah memperuntukkan RM25 juta untuk media sosial, manakala Nizar Jamaluddin dalam satu pertemuan dengan blogger-blogger Pakatan Perak pada penghujung hayatnya selaku Menteri Besar Perak, telah memperuntukkan RM12.5 juta untuk mereka.

Baca pula apa yang disiarkan oleh Harakah Daily tanpa sedar, ianya sekadar memalitkan arang ke muka mereka sendiri!!!

___________________________________________________________________

KUALA LUMPUR: Kepada banyak pihak, ia semakin jelas saban hari bahawa Umno adalah sebuah parti yang disertai individu-individu yang tamak dan tidak pernah ada rasa cinta kepada parti mereka.

Terdapat banyak peristiwa kebelakangan ini yang menguatkan persepsi tesebut, yang terbaru ialah pertelingkahan antara media, antara bos-bos media mereka dan pakar strategi yang memutar belitkan berita.

Ini termasuk bagaimana cara untuk menonjolkan agenda Umno dan bagaimana untuk menjual kepada orang awam mengenai kebolehan Umno dalam pembangunan, namun semuanya tidak berpadu dari atas ke bawah.

Jadi, anda boleh berimaginasi betapa teruknya parti yang sudah tua ini, dan mengapa kini ada yang berpendapat bahawa parti tersebut berada di perjalanan terakhirnya sebelum diketepikan dalam arus perdana politik Malaysia.

Setiap ahli Umno hanya memikirkan mengenai diri mereka sendiri. Semua yang berada dalam parti yang mempunyai 3 juta ahli ini berpecah, dan apa yang mengikat mereka hanya 'WANG'.

Umno BN turut beroperasi atas prinsip di atas dan ia adalah sebab mengapa susah untuk melihat kesemua logo 14 parti komponen dicetak di bahan kempen BN.

Mereka jarang di platform yang sama, dan semua komponen parti BN mempunyai DNA yang sama dengan Umno – bersifat individualistik, pentingkan diri sendiri dan tidak kreatif.

DNA UMNO

Maka, ia tidak mengejutkan cybertrooper (askar maya) Umno juga bersifat tamak dan individualistik. Mereka juga mempunyai DNA Umno yang sama di dalam darah mereka.

Tamak di sini bukan sahaja merujuk kepada wang, tapi juga habuan untuk menjadi popular, dihormati, berpengaruh dan berkuasa. Cybertropper Umno berpecah kepada beberapa kumpulan, dan semua mempunyai fikiran masing-masing.

Antara askar maya Umno, individu yang sentiasa disalahkan dalam menimbulkan permasalahan ialah Wan Azri daripada blog Papa Gomo. Walaupun beliau tidak terlibat dalam kemelut terbaru mendakwa Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times Jalil Hamid sebagai penderhaka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Begitu panas perang antara mereka yang saling menyerang di dalam dunia blog Umno sehingga ia menjadi berita, dan blogger menjadi tumpuan media dan bukannya orang yang disokong mereka. Ya, ini amatlah melucukan.

Boleh ke Umno melakukan sesuatu dengan betul? Apa yang mereka gaduhkan ialah perkara kedua – iaitu mengenai sebuah artikel mengenai pemecatan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Samada Najib mengaku atau tidak, ia adalah jelas Abu Bakar adalah kambing hitam dalam kegagalan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mengutamakan peringkat atasan kakitangan kerajaan, menyebabkan kakitangan bawahan melenting dan mengugut untuk mengundi pembangkang, Pakatan Rakyat.

Namun begitu, sebahagian blogger Umno tetap berpendapat artikel yang disiarkan Berita Harian, yang berada di bawah kumpulan NSTP telah memberikan satu imej buruk kepada Najib kerana kenyataan Abu Bakar yang menyatakan bahawa beliau telah dipecat secara tidak adil telah disiarkan. Kerana itu, blogger Umno saling berperang, dan ini menyebabkan satu petengkaran yang hebat bagaikan najis terkena kipas.

Peruntukan daripada wang rakyat bukan wang parti

Kini, Papa Gomo sedang mempertahankan Umno dan mencipta masalah untuk pembangkang. Wan Azri ialah blogger yang memaparkan video seks Datuk T untuk Utusan dan semua akhbar Umno jadikan bahan laporan. Sekarang, beliau ingin dikenang, dinilai tinggi dan dikayakan untuk segala usaha beliau, yang dikatakan membiayai diri sendiri.

Namun begitu, ada yang mengatakan bahawa beliau dibiayai Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan. Sudah tentu Wan Azri mendapat bayaran di sini dan di sana oleh individu Umno yang menggunakan laman web beliau sebagai platform untuk menyerang. Tapi tidak, beliau masih tidak mendapat pengaliran duit yang tetap ke akaun beliau. Dan beliau cukup terkilan apabila Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin telah menubuhkan Unit Media Baru (UMB) untuk mempertahankan parti mereka dan menyerang pembangkang, dan beliau diketepikan.

Ia adalah menarik untuk diberi perhatian bahawa unit Khairy terdiri daripada blogger baru yang dibayar menggunakan dana yang diperuntukkan di bawah Kementerian Penerangan. Bayangkan dana awam untuk kerja-kerja kotor Umno. Tapi, siapalah yang di dalam Umno yang akan menggunakan duit mereka sendiri untuk parti. Ia selalunya adalah duit rakyat yang membayar bil mereka. Namun, ini adalah cerita berlainan.

Kisah tumbukan

Seorang lagi blogger Umno yang terlibat dengan kemelut ini ialah Akupeduliapa (APA) daripada UMB Khairy. Papa Gomo tidak mempunyai hubungan yang baik dengan APA kerana beliau telah didakwanya memperoleh kekayaan dan tidaklah semiskin yang dikatakan Papa Gomo. Khairy telah campurtangan dalam hal ini – membuat kenyataan di Twitter bahawa perkara itu adalah biasa untuk Papa Gogo. Satu lagi air mata buaya!

Pergelutan Papa Gomo-APA dilaporkan menjadi genting apabila Papa Gomo yang lebih muda usianya telah menumbuk APA yang lebih senior di dalam satu mesyuarat Kementerian Belia dan Sukan. Sekarang, adakah anda faham mengapa Perkasa tidak berfikir apa-apa selain menyerang Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng atau mengugut untuk mewujudkan kembali peristiwa 13 Mei, 1969 iaitu pertumpahan darah antara kaum? Keganasan dan pertumpahan darah tiada dalam mentaliti Umno, tapi ia adalah sebahagian daripada darah daging mereka!

Pergaduhan itu telah menyebabkan mereka berdua kini mendatangkan masalah kepada sponsor mereka – Ahmad Shabery dan sesiapa sahaja pemimpin Umno yang APA berkhidmat dengannya. Dengan APA di bawah UMB, beliau sepatutnya berkhidmat dengan Khairy, tapi orang yang mengendalikan unit tersebut bukannya Khairy tetapi exco pemuda Umno Tun Faisal Ismail Aziz.


Pemimpin Umno belakang bloggers

Tun Faisal bukan sahaja ketua UMB tapi beliau juga orang Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Apa-apa pergaduhan atas isu apa-apa, ia jelas bahawa Khairy, Faisal, Hishamuddin dan Ahmad Shabery sedang cuba berebut pengaruh di kalangan para blogger ini. Ini telah menimbulkan sengketa kepada semua yang terlibat.

Khabar angin terbaru di dalam Umno ialah Hishamuddin telah cuba menghubungi Wan Azri untuk mendapatkan bantuan bagi mengalahkan pesaing beliau di dalam Umno menjelang pemilihan parti akan datang, yang bakal diadakan dalam masa terdekat. Sudah tentu, Papa Gomo yang sensitif terhadap kewangan telah dijanjikan duit bulanan yang lumayan. Dan ini sangat menarik.

Satu lagi watak dalam blogger Umno ialah Anuar Mohd Nor daripada Umno Reform2. Beliau berpendapat bahawa Najib perlu diberitahu perkara sebenar dan tidak diberi maklumat salah. Anuar tidak menjaga kritikannya sehingga para blogger Umno merasakan beliau bekerja untuk pembangkang. Tapi Anuar merasakan beliaulah orang yang perlu memberitahu 'rajanya bahawa rajanya bogel kerana baginda sememangnya bogel dan bukan sebaliknya'. Kepada Anuar, blogger lain adalah jahat kerana sedang menasihatkan maharaja untuk berjalan bogel di tempat awam.

Terasa keseorangan, Papa Gomo juga dikatakan sedang cuba mencari kawan dalam kalangan blogger Umno. Beliau telah cuba memujuk Anuar untuk menyertai kem beliau. Perkembangan ini masih diperhatikan secara dekat.


Pecat Jalil
Antara orang yang menyarankan agar Jalil dipecat ialah Salahuddin Hisham daripada blog The Unspinners. Salahuddin juga tengah bertelagah dengan Anuar dan mereka sudah menjadi musuh ketat sejak sekian lama. Sahaluddin tidak bersetuju dengan cara Anuar untuk memperbaiki Umno.

Yang pelik ialah Salahuddin adalah orang yang dilayan seperti orang luar oleh Umno kerana tingkah lakunya yang buruk dan beliau juga ada sengketa dengan pemimpin Umno. Sekarang anda boleh lihat, masalah yang bergelumang pada seorang blogger Umno adalah daripada semua sudut – seperti juga kemahiran mereka untuk bertempur dan berlawan sesama sendiri. Selain itu, Salahuddin juga di belakang blog 'Another Brick in the Wall' yang dianggap sebagai satu liabiliti untuk Umno.

Menariknya, The Unspinners juga didakwa pada Julai 2011 oleh Raja Petra Kamaruddin dalam kontroversi cincin RM24 juta yang didakwa dibeli oleh isteri perdana menteri Rosmah Mansor. Salahuddin telah mendakwa RPK membuat dakwaan palsu terhadap Rosmah.

Dalam pada itu, ‘Granddaddy’ kepada semua blogger Umno, Akhiruddin Atan aka Rocky Bru telah cuba meredakan isu tersebut kerana beliau telah dilantik oleh Umno untuk mengawal dan menjaga askar maya Umno yang dibayar.

Sehingga kini, beliau masih tidak nampak membuat sebarang perubahan untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat terhadap Umno walaupun dengan bajet RM300,000 sebulan yang dispekulasikan itu. Ini tidak mengejutkan. Usaha beliau untuk meredakan suhu masih gagal untuk menutup mulut The Unspinners yang menyuruh supaya Jalil dipecat dari NST.

Seperti Rais, siapa makan cili akan terasa pedas
Seorang lagi blogger Umno Zakhir the Big Dog juga dikenal sebagai 'The Thirteen Million Plus Ringgit' sedang ditekan kuat kerana serangannya pada Menteri Penerangan Rais Yatim. Seorang lagi yang menembak ke arah Big Dog ialah Melayu Atas Pagar daripada blog 'Gelombang Wangsa Maju', daripada UMB cawangan Wangsa Maju.

APA juga tidak gembira terhadap serangan Big Dog pada Rais. Tapi Big Dog tidak akan menghiraukan perkara itu. Terkilan dengan Rais yang mengetepikan beliau dan pasukan blogger elit beliau, Big Dog telah bertanya satu soalan yang menghinakan bagi Rais, “Mengapakah menteri suka orang besar mereka berada di sisi mereka sentiasa dan tidak dengan para pengundi?”

Kebetulan atau tidak, Rocky Brulah yang menulis sebuah artikel menghentam Rais dalam isu dakwaan merogol amah dan Big Doglah pula yang menyuruh pihak berkuasa untuk menyiasat.

Blogger yang berkhidmat untuk pemimpin Umno-BN nampaknya hidup dalam satu keadaan yang celaru dan melumpuhkan diri sendiri seperti parti mereka. Misi dan visi rasmi mereka tiada dalam radar, yang ada hanyalah kepentingan peribadi. Macam pernah didengar – burung gagak terbang bersama dan siapa makan cili akan terasa pedas.

Lebih teruk bila dekat pilihanraya
Lebih dari itu, tahap ketegangan dan kebencian antara blogger Umno adalah gambaran kepada apa yang sedang melanda parti mereka sendiri.

Daripada cawangan ke kawasan kepada peringkat tertinggi, pergaduhan semasa sendiri yang sentiasa dibenamkan kini nampak serius. Dengan PRU13 ditangguhkan ke tahun depan, perebutan kuasa Umno ialah perkara paling menarik selepas Olympik 2012.

Dalam nota yang lebih serius, ia adalah menarik untuk direnungkan, dengan krisis dalam yang paling tegang, adakah Umno boleh bertahan dalam perang sivil terbarunya?

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /