11 Jun 2014

PERDANA MENTERI DIBERI SAMBUTAN RASMI ISTANA PRESIDEN TURKMENISTAN

Najib Turkmenistan
Ashgabat (Turkmenistan) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diberi sambutan rasmi di Istana Presiden di sini pada Selasa sempena lawatan kali kedua beliau ke Turkmenistan untuk memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Sebaik tiba di istana kubah emas itu pada kira-kira 10 pagi (1 tengah hari waktu Malaysia), Najib disambut Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov.

Perdana Menteri kemudiannya memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada anggota pasukan keselamatan Turkmenistan sebelum diperkenalkan kepada menteri-menteri kabinet dan kor diplomatik oleh Berdimuhamedov.

Selepas itu, Najib memperkenalkan anggota delegasinya termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Duta Besar Malaysia di Turkmenistan Norman Muhamad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Najib, diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sedang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke negara ini atas undangan Berdimuhamedov. Mereka tiba di sini pada Isnin petang.

Lawatan pertama Najib ke negara Asia Tengah ini adalah pada 11 hingga 12 Julai 2011.
Selepas sesi bergambar, Najib dan Berdimuhamedov mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan pelbagai isu.

Turkmenistan ialah rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Asia Tengah.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara pada 2013 adalah US$33.13 juta berbanding US$11.68 juta pada 2012 dan US$24.27 juta pada 2011.

Najib, yang juga Menteri Kewangan dan Berdimuhamedov kemudiannya menandatangani Kenyataan Bersama antara Malaysia dan Turkmenistan.

Selepas itu, mereka menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kerjasama Kebudayaan antara Malaysia dan Turkmenistan; mempersetujui terma dan syarat rujukan untuk jawatankuasa bersama bagi perdagangan antara Malaysia dan Turkmenistan; Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama pendidikan dan MoU bagi kerjasama jangka panjang antara Petronas dan State Agency in Charge of Hydrocarbon.

Kemudiannya Najib dan Rosmah menyertai kira-kira 100 rakyat Malaysia yang bekerja di negara ini pada majlis makan tengah hari dianjurkan Duta Besar Malaysia di Turkmenistan Norman Muhamad di Yyldyz Hotel, tempat penginapan perdana menteri dan isteri di sini.

Selepas itu, Najib akan melawat Tugu Perlembagaan dengan beliau akan meletakkan kalungan bunga serta menanam sebatang pokok pain di sebuah taman berdekatan.

Kira-kira 25 pemimpin dunia telah menanam pokok di taman itu sebagai lambang persahabatan dengan Turkmenistan semasa mereka mengadakan lawatan rasmi ke negara ini.

Sempena lawatan rasmi itu, Najib dan Rosmah juga akan menghadiri majlis makan malam rasmi dihoskan Berdimuhamedov di Istana Presiden.

Mereka dijadual pulang ke tanah air Selasa malam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /