11 Jun 2014

Kahwin Hindu : JAIS Nasihat Zarina Fail Permohonan Status Agama Di Mahkamah

Hindu Kahwin JAIS
Shah Alam – Kontroversi melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dikatakan ‘memalukan’ kerana ‘menyerbu’ majlis perkahwinan Zarina Abdullah Majid lebih seminggu lalu, sudah pun selesai selepas satu mesyuarat antara Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan wanita berkenaan, semalam.

Malah, selepas pertemuan kedua-dua pihak, Pengarah MAIS Datuk Mohamad Adzib dan Zarina mengeluarkan kenyataan bersama bagi menjernihkan keadaan.

Menurut kenyataan itu, wakil keluarga Zarina mengakui siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) – badan penguatkuasaan MAIS – dilakukan penuh hormat dan tidak menyinggung perasaan keluarga dan tetamu majlis perkahwinan.

“Pihaknya (Zarina) turut kesal dengan istilah serbuan yang sengaja disensasikan oleh pihak media sehingga menimbulkan ketegangan,” petik kenyataan bersama itu.

Dinyatakan juga, JAIS pula berkata, siasatan mereka mendapat kerjasama baik daripada Zarina dan keluarga.

Kenyataan tersebut juga menyebut MAIS menasihati Zarina untuk memfailkan permohonan status agama di Mahkamah Tinggi Syariah kerana ia terletak bawah bidang kuasanya.

“MAIS dan JAIS akan membantu mempercepatkan proses pendengaran permohonan kes beliau di Mahkamah Tinggi Syariah,” katanya.

Dalam insiden awal bulan ini, pegawai JAIS dilaporkan telah hadir ke majlis perkahwinan Zarina dengan seorang lelaki beragama Hindu mengikut upacara agama berkenaan bagi melakukan pemeriksaan berhubung status agama wanita berkenaan.

Tindakan JAIS itu dilakukan selepas badan berkenaan mendapat maklumat bahawa Zarina adalah wanita Islam.

Zarina mendakwa bahawa ayahnya yang merupakan mualaf dan telah terpisah lama dengannya, telah mendaftarkannya sebagai Muslim ketika dia masih kecil tetapi dia telah dibesarkan sebagai penganut Hindu oleh ibunya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /