17 Jun 2014

Lokasi Ponteng Puasa Dikenal Pasti

poteng puasa
Georgetown Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengenalpasti 20 lokasi panas tumpuan golongan ponteng puasa di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata kawasan berkenaan bukan sahaja bertumpu di premis makanan malah di kafe siber, pusat snuker, pusat karaoke dan seumpamanya.
“Kerajaan negeri menerusi JHEAIPP akan melipatgandakan rondaan di semua daerah seawal pukul 7 pagi di lokasi berkenaan bagi membendung gejala maksiat dan salah laku sepanjang Ramadan ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata tahun lepas, sebanyak 103 kes telah dibawa ke mahkamah mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 kerana tidak menghormati bulan puasa, berjudi, berkhalwat, lelaki berpakaian wanita dan perbuatan tidak sopan.

Katanya kerajaan negeri telah mengedarkan 212 kain rentang amaran penguatkuasaan sempena Ramadan kepada semua masjid di negeri ini.

Abdul Malik berkata pemantauan turut dilakukan bagi memastikan premis yang tiada sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak menggunakan istilah Ramadan untuk mempromosi perniagaan mereka.

“Tahun lepas kita dapat kesan terdapat premis menggunakan slogan mengelirukan seperti ‘The Healthy Ramadan Treat’ dan ‘Ramadan Movies Crazy’ sedangkan produk yang dijual tidak halal selain tidak bersesuaian dengan umat Islam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Malik berkata terdapat 14 lagi hotel di Pulau Pinang dalam proses memperbaharui sijil halal mereka dan kesemuanya dijangka selesai sebelum Ramadan.

Katanya, setakat ini sebanyak 664 sijil halal telah dikeluarkan kepada produk makanan, bahan gunaan, premis makanan, hotel, rumah sembelihan dan produk farmaseutikal di seluruh negeri ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /