05 Jun 2012

Ramai Kagumi Kejayaan Malaysia – Najib


PUTRAJAYA – Ramai orang luar yang melawat Malaysia kagum dengan pelbagai kejayaan yang dicapai negara, dan mereka dilihat seolah-olah memiliki persepsi yang sama sekali berbeza dengan realiti dalam negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata banyak petunjuk dalam negara yang memberikan gambaran jelas mengenai kejayaan yang dicapai negara selaras dengan pelbagai inisiatif kerajaan.
“Rupa-rupanya wujud jurang antara persepsi dan realiti di Malaysia, bagi sesetengah negara, realiti itu lebih buruk daripada persepsi, tapi bagi Malaysia persepsi nampak lebih buruk daripada realiti,” katanya semasa berucap di majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana di sini, hari ini.


Beliau berkata baru-baru ini dua senator dari Amerika Syarikat yang melawat Malaysia memuji apa yang mereka dapat lihat, dan mereka menggambarkan Malaysia sebagai sebuah kisah kejayaan.
Katanya kedua-dua senator yang merupakan bekas calon Presiden itu juga mengakui bahawa Amerika Syarikat sendiri sedang berusaha membaiki sistem demokrasi mereka, malah mengakui bahawa satu ketika dulu keputusan pilihan raya negara itu tidak diputuskan oleh peti undi, sebaliknya oleh Mahkamah Agung.
Najib berkata ia berbeza daripada keadaan di Malaysia, di mana segala perjalanan pilihan raya diurus dengan baik dan semua keputusan dapat diketahui pada malam hari mengundi.
Beliau seterusnya berkata rakyat Malaysia harus yakin yang mereka berada di landasan yang benar dan baik, cuma yang penting adalah supaya mereka tidak lekas berpuas hati dengan pencapaian, sebaliknya perlu mencabar diri sendiri untuk melakukan yang terbaik, agar negara dapat melihat kejayaan yang lebih besar dalam masa yang terdekat.
Menurutnya program-program seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan juga Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang dilaksanakan kerajaan dengan jelas menunjukkan kesan secara langsung dan tidak langsung yang dapat dirasai di seluruh negara.
Sementara itu, beliau berkata pertumbuhan sektor pembinaan dalam negara yang besar, menjangkau lebih 15 peratus, memberi sumbangan ketara kepada pencapaian kadar pertumbuhan ekonomi negara 4.7 peratus dalam suku pertama tahun ini.
Najib seterusnya berkata dalam menghadapi senario ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini, untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi mantap, negara tidak punyai pilihan selain mengukuhkan daya tahan ekonomi domestik dan nasional.
“Kita perlu cari sumber dan idea baru untuk tambah pendapatan kita, kita boleh belajar daripada apa yang gagal dilakukan negara-negara di Eurozone yang menghadapi tekanan ekonomi yang amat dahsyat,” katanya.
Najib berkata sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, apabila memperoleh hasil yang bertambah, baru hasil itu dapat dipulangkan kepada rakyat, dan bukannya hanya menjanjikan sesuatu yang tidak mungkin dapat ditunaikan, atau menjanjikan sesuatu yang akhirnya akan memudaratkan negara.
Beliau memberi contoh janji-janji pihak tertentu yang kononnya hendak menurunkan harga minyak, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menghapuskan tol, meletakkan gaji minimum yang tinggi dan sebagainya.
Menurutnya seseorang itu tidak perlu jadi cendekiawan untuk sedar bahawa semua ini tidak mungkin dapat dilakukan, tetapi pada mereka yang berjanji ini tidak penting, kerana apa yang penting adalah untuk berkuasa semata-mata.
Najib juga berkata kerajaan juga sedang mengkaji cara untuk menambahbaik perkhidmatan di barisan hadapan negara, iaitu pegawai yang mula-mula ditemui pelawat semasa memasuki negara, seperti pegawai Kastam atau Imigresen.
Menurutnya antara tumpuan yang akan diberikan ialah dari segi interaksi antara pegawai-pegawai ini dengan pelawat. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /