30 Julai 2013

Penayangan Filem The New Village Tak Perlu


Kebenaran tayangan filem The New Village perlu ditarik balik daripada dipertontonkan kepada umum pada Ogos ini sekiranya filem tersebut benar-benar mengagungkan perjuangan komunis serta mencetuskan provokasi.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, biarpun hanya menonton sedutan filem berkenaan, namun beliau menyifatkan The New Village sebagai satu usaha menulis semula sejarah negara dengan mengangkat perjuangan pengganas komunis.

"Walaupun betul komunis melawan British, namun keganasan itu tidak boleh dimaafkan. Kelulusan tayangannya juga menimbulkan tanda tanya kerana jelas wujud double standard. Sedutan filem yang jelas menunjukkan pengganas komunis dilepaskan begitu sahaja.

"Sedangkan filem Tanda Putera kena tunggu sampai setahun selepas pilihan raya, baru kita tayang sempena kemerdekaan. Ini suatu yang tidak kena," katanya yang turut berhasrat membawa isu tersebut ke Kabinet.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Ihya Ramadan Parlimen Tapah di Masjid Al-Mukmin, Batu Tiga di sini malam tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahaya; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan; Ahli Parlimen Tapah, Datuk M. Saravanan dan Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Azwan Harun.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan tayangan filem kontroversi The New Village yang dijadualkan bermula pada 22 Ogos ini ditangguhkan bagi membolehkan Lembaga Penapisan Filem (LPF) meneliti semula plot, jalan cerita serta mesej tersembunyi dalam produksi tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, filem tersebut dikatakan memuatkan unsur-unsur komunisme dalam beberapa babak selepas dibangkitkan oleh blog tempatan, http://mymassa.blogspot.com.

Mengulas mengenai kontroversi berhubung penyebaran gambar murid bukan Islam makan di bilik persalinan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana di Sungai Buloh; Khairy berkata, Guru Besar sekolah berkenaan, Mohamad Nasir Mohd Noor tidak seharusnya dikeji serta diserang secara peribadi di media sosial.

Beliau berkata, kes tersebut telah berjaya mencapai jalan penyelesaian, malah Kementerian Pendidikan juga turun padang membuat lawatan di sana.

"Walaupun Guru Besar sekolah berkenaan mengakui kelemahan, tetapi masih ada yang tidak menghentikan serangan ke atasnya terutama daripada pihak pembangkang. Jangan menghukum beliau secara tidak adil," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /