Suspek yang ditahan dibawa balik ke IPD Kulim untuk siasatan lanjut. |
Tiga suspek terlibat dalam kejadian samun dan
pecah rumah yang sering berlaku di kawasan kampung dan taman perumahan di sini
akhirnya ditahan Polis dari Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ)
Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim (IPD). Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan
Ghuzlan Saleh berkata, polis telah membuat pemantauan sejak seminggu lalu
sebelum membuat serbuan terhadap suspek awal pagi kelmarin.
“Kumpulan ini lebih dikenali dengan nama geng
anak toyol dan bergerak aktif melakukan jenayah itu bermula jam 11 malam hingga
4 pagi. Polis telah mendapat maklumat lengkap tentang suspek sejak seminggu
lalu dan membuat serbuan terhadap seorang lelaki berusia 25 tahun kira-kira jam
3.30 pagi kelmarin.
“Setelah disoal siasat, dia bersetuju untuk
memberikan kerjasama dengan menunjukkan dua lagi rumah rakannya di mana
masing-masing berusia 16 tahun,” katanya.
Menurutnya, kesemua suspek mengaku
bertanggungjawab melakukan empat kejadian samun dan pecah rumah sepanjang bulan
Julai dan Ogos. Ketika ditahan, ke semua suspek sedang tidur di rumah keluarga
masing-masing.
"Ada dalam kalangan ahli keluarga suspek
tidak mempercayai kegiatan jenayah dilakukan oleh anak mereka sehinggalah
suspek sendiri mengaku terlibat dengan jenayah berkenaan.
"Modus operandi yang digunakan oleh
kumpulan ini untuk masuk ke rumah mangsa adalah melalui siling rumah, pintu
belakang, pintu hadapan dan tingkap," katanya.
Antara barangan yang sering dilarikan suspek
adalah seperti komputer riba, wang tunai, kamera, barang kemas dan jam tangan.
Kesemua suspek yang ditahan kemudiannya
dibawa balik ke IPD Kulim dan akan disiasat mengikut seksyen 457 Kanun
Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan