Seorang bapa membuat laporan di Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Segamat, tengah malam kelmarin, mendakwa bayi perempuannya
berumur satu tahun enam bulan dicabul. Bapa tersebut yang hanya ingin dikenali
Pang, 30an, berkata, sejak kebelakangan ini anak perempuannya menunjukkan sikap
ganjil dan sering merengek seakan menahan sakit.
“Saya tidak mengesyaki sebarang kejadian aneh pada anak kedua saya itu kerana berfikir dia kepenatan berada seharian di rumah pengasuh ataupun tidak sihat.
“Tetapi, saya hairan apabila dia tidak mahu memakai lampin pakai buang dan
sering menunjukkan tangan kanannya ke arah dubur,” katanya.
Jelasnya, sebaik memeriksa dubur anaknya, dia terkejut mendapati terdapat cecair putih bersama darah merah di bahagian itu.
Pang dan isterinya yang merupakan warganegara Vietnam bertindak membawa bayi mereka ke sebuah pusat perubatan di Labis dan kemudian dinasihatkan kakitangan bertugas supaya membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Segamat.
“Saya segera membawa anak ke Hospital Segamat untuk pemeriksaan dan hasilnya mendapati kemungkinan besar dia diliwat kerana ada kesan tusukan benda keras di duburnya.
“Saya kemudian membuat laporan polis kerana
mengesyaki anak saya diliwat dan mahu mendapatkan keadilan untuk anak saya,”
katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi, mengesahkan menerima laporan tersebut pada hari sama. Menurutnya, seorang lelaki berusia 43 tahun telah ditahan pada jam 5 petang kelmarin.
“Suspek akan ditahan reman sehingga 26 Ogos
ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun
Keseksaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan